Thursday 10 April 2014

Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis,para hakim yang bijaksana,Guru Besar,guru-guru,dan rakan-rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk syarahan saya pada kali ini ialah “Membazir Adalah Amalan Yang Tidak Baik.

Hadirin sekalian,

          Kata “membazir “bermaksud berlebih-lebihan menggunakan sesuatu hingga ada yang terbuang. Amalan ini sebenarnya banyak mendatangkan keburukan. Misalnya jika kita terlalu boros berbelanja,kita tidak akan mempunyai wang ketika kita benar-benar memerlukannya. Makanan yang dibeli secara berlebihan mungkin tidak termakan dan akan dibuang.

          Selain dari itu, membuang masa dengan cara yang tidak berfaedah adalah satu pembaziran. Bagi seorang murid, masa itu adalah emas. Oleh sebab itu ,kita hendaklah membuat jadual waktu supaya masa kita dapat diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah.

          Kita digalakkan juga supaya tidak membazir air dan elektrik. Jika kita membazir air dan elektrik ,kita terpaksa menggunakan wang yang banyak untuk membayar bil-bil berkenaan.

Pada musim kemarau pula,kita akan menghadapi masalah kekurangan air dan terpaksa dicatu.

          Oleh sebab masa tidak mengizinkan ,saya terpaksa mengakhiri syarahan saya ini. Sebagai kesimpulannya ,saya ingin menekankan bahawa membazir adalah amalan yang tidak baik dan banyak mendatangkan keburukan kepada kita.

          Sekian,terima kasih.

Tajuk : Anda menyertai pertandingan syarahan peringkat sekolah. Tajuk yang telah anda pilih ialah ‘ Faedah Membaca’

          Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, guru-guru, rakan-rakan dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

          Tajuk syarahan saya ialah ‘ Kepentingan Membaca’. Membaca adalah satu amalan yang mulia. Membaca boleh memberi manfaat kepada kita semua. Melalui pembacaan, kita dapat mengetahui pelbagai perkara. Contohnya melalui surat khabar. Akhbar merupakan sumber maklumat dan menyiarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.

Saudara dan saudari sekalian,

Selain mendapat maklumat, membaca juga boleh mengisi masa lapang kita. Jika kita menjadikan sifat membaca sebagai amalan, sudah tentu masa kita tidak terbuang begitu sahaja. Jadi, kita boleh mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti bermain-main dan merayau-rayau di kedai-kedai dan sebagainya.

          Di samping itu, membaca boleh membaiki penguasaan bahasa kita. Melaluinya kita boleh menambah perbendaharaan kata.

          Oleh itu, kita mestilah menjadikan tabiat suka membaca sebagai amalan hidup. Manusia yang suka membaca adalah manusia yang mempunyai banyak ilmu.

          Sekian , saya sudahi syarahan saya dengan ucapan terima kasih.

Kamu telah menyertai pertandingan syarahan sempena Kempen Hijau yang telah diadakan di sekolah kamu. Tajuk syarahan kamu ialah Menjaga Alam Sekitar. Tuliskan syarahan kamu itu.

          karangan syarahan "menjaga alam sekitar"






    Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang bijaksana , guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya ialah ‘Menjaga Alam Sekitar’.

Hadirin hadirat sekalian,

          Alam sekitar adalah suasana yang wujud di sekeliling kita. Ini termasuk bumi yang kita pijak dan udara yang kita sedut. Semakin hari alam sekitar kita semakin tercemar.

          Antara faktor-faktor pencemaran ialah pengeluaran asap-asap kotor daripada kenderaan dan kilang-kilang, sampah sarap yang sukar dihapuskan seperti longgokkan besi buruk , sungai yang dipenuhi sampah dan bangkai binatang.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

          Ini jelas membuktikan bahawa hidupan kita adalah terdedah kepada bahaya pencemaran alam sekitar. Oleh itu, kita hendaklah menjaga alam sekitar dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkannya. Sebagai pengguna, kita hendaklah sama-sama mendisiplinkan diri dan menjaga kebersihan alam sekitar.

          Sebagai mengakhiri syarahan ini, saya ingin tegaskan bahawa langkah serius perlu diambil dengan segera dalam usaha menjaga alam sekitar kita. Setiap individu perlu mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dalam hal ini. Alam sekitar yang bersih menjamin kesihatan kita.

          Sekian, terima kasih